Selak-selak Mingguan Wanita semalam terjumpa lagi artikel ibu yang bunuh anak. Ish...ish...ish...
Tergamak ke bunuh anak sendiri?
Tergamak ke pijak budak yang setinggi lutut kita je?
Tergamak ke kita sepak terajang budak yang tak tau apa-apa?
Tergamak ke bagi racun, tengok si anak menggelupur dan mati depan mata sendiri?
Bagi orang yang waras dan sempurna imannya, aku rasa tak pernah terlintas pun nak buat sesuatu seperti di atas. Bila aku google tentang kisah ibu-ibu yang bunuh anak ni kebanyakannya berpunca dari tekanan mental.
Banyak punca tekanan mental ni, dan banyak juga cara mengelak dan merawatnya.
Bagi kita yang beragama Islam ni, kena la sentiasa solat, doa dan beramal supaya tak goyah iman.
Bila ada masalah, jangan lari...tapi cuba untuk hadapi dan selesaikan masalah itu sebaiknya.
Dapatkan bantuan, kalau bukan dari keluarga atau sahabat, boleh telefon talian Nur 15999. DIorang akan bagi saluran untuk kita cari penyelesaian.
Haih, tak sanggup rasanya tengok artikel-artikel ni lagi!
p/s : Untuk lebih faham tentang penyakit mental, boleh layari di sini. dan laman sesawang MMHA.
Satu pagi di masjid Al-Khairiah, ada seorang sahabat aku ni bertanya...
"Ustaz tu dok kata kita akhiri majlis dengan tasbih kaffarah, apa maknanya ye? Macamana nak bacanya?"
Hmm..aku pun baru tersedar yang selama ni aku dok baca tasbih kaffarah tanpa tahu tujuannya...
Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ
melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”.
Daripada Abu Barzah Aslami RA berkata: Rasulullah SAW pernah menyebut pada hujung usia baginda apabila baginda hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ
Maka berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah menyebut suatu ucapan yang mana tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini. Berkata (Rasulullah SAW): “Ia merupakan kaffarah (penebus dosa) terhadap apa yang berlaku dalam majlis”
Di riwayatkan daripada Aisyah RA bahawa apabila baginda bangun daripada majlis, baginda akan membaca:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ
Saya bertanya: kenapa tuan sering membaca doa ini?
Baginda menjawab: Sesiapa yang membaca doa ini pada penutup majlis maka akan di ampunkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam majlis tersebut.
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui". Al-Baqarah:42
Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:
“Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”.
PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, menerusi kajian yang dibuat pada 2008, mendapati wujudnya potensi tinggi berlakunya perceraian dalam usia perkahwinan 10 tahun ke bawah.
Dalam kajian pada 2007 pula, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian dan bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai.
Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian.
Berdasarkan rekod 2009, 135,136 perkahwinan didaftarkan manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan.
Di negara kita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diwujudkan bagi menjaga kebajikan wanita supaya tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya.
Namun, melihat keadaan semasa di negara kita pada masa kini, mungkin tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu lelaki yang kelihatan semakin pudar keupayaan mereka.
Allah SWT menciptakan isi dunia ini berpasangan supaya mereka saling bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka.
Namun, jumlah wanita lebih ramai memenuhi institusi pengajian tinggi dan seterusnya semakin banyak menguasai jawatan dalam bidang pekerjaan.
Pendidikan dalam rumah tangga semakin terhakis, satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar bekerja sedangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak.
Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak tetapi dunia rumah tangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni.
Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan dunia pekerjaan, tentu kemampuannya mengurus isi rumah tangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang.
Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumah tangga mereka sering gagal menampung ruang kosong ditinggalkan isteri yang bekerja.
Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumah tangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa.
Lebih buruk jika impak itu merosak jiwanya dan menjadikan anak berkenaan sebagai pembuli di sekolah, ‘virus’ di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam negara.
Allah SWT menyebut dalam surah Al-Nisa, ayat 43, bahawasanya: “Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafkah yang mereka berikan.” Jelas daripada ayat di atas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumah tangga berdasarkan dua sebab utama iaitu, kelebihan fizikal mereka dan, tanggungjawab mereka selaku pencari nafkah untuk keluarga.
Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pasti masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah hingga berakhir dengan perceraian dan anak bermasalah.
Kerana itu keharmonian keluarga sangat penting dalam Islam dan Rasulullah SAW mengatakan, krisis dalam keluarga boleh ‘menghakis’ agama kerana ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadilatnya berbanding puasa (sunat), sedekah (sunat) dan solat (sunat)?” Maka Abu Darda’ menjawab: “Ya, Rasulullah.” Baginda membalas: “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat.” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud) Rasulullah turut menyatakan bahawasanya: “Kerosakan dalam hubungan rumah tangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama).” (Riwayat Ahmad dan Tirmidhi: Hadis Hasan) Apabila wanita sudah bekerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian, ‘trend’ perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri).
Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian.
Allah Maha Mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah, justeru, kuasa cerai diberikan kepada suami.
Namun, isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syarak.
Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekali gus menunjukkan kegagalan lelaki.
Artikel ini bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebagai ketua keluarga.
Ia adalah satu tugas dan amanah yang datang dengan tanggungjawab dan peranan.
Tanggungjawab sebesar itu memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam rumah tangga.
Keputusan dibuat pula mestilah rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah, khususnya isteri, sama seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan.
Itulah sebaik-baik cara yang Allah SWT ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan.
Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah Maha Mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakan-Nya.
Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai menyalahgunakan kemudahan fizikal.
Kelebihan digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk ‘merempit’ dan menunjuk kekuatan dengan bergaduh dan tidak ketinggalan juga sebahagiannya diguna untuk mendera anak, isteri dan wanita lain.
Minda logik dan kurang emosi yang dianugerahkan Allah SWT digunakan untuk ‘menjustifikasikan’ segala kelalaian, menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan, padahal tiada usaha secukupnya dilaksanakan.
Akhirnya, semakin ramai lelaki gagal menggalas tugas ketua keluarga lantaran mendorongnya untuk terus mendesak isteri mengambil alih sebahagian tugasannya yang akhirnya menjadi punca kepada ‘rumahku nerakaku’.
Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan satu agensi khusus untuk melindungi lelaki sebagaimana peranan KPWKM yang melindungi wanita.
Kita sedar tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang mudah menerima nasihat.
Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda? Apapun, pemimpin negara dan semua pihak berkuasa memerlukan kaedah dan strategi lebih jelas dan berkesan bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki daripada aspek iman, ilmu, jiwa dan minda supaya mereka kembali menjalankan tanggungjawab dan bukan sibuk menjual ‘ubat kuat’ dan ‘tahan lasak’.
Tanpa pelan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku kepada lelaki, khususnya di negara kita.
Sudah tentu perkara pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak mereka.
Jangan terkam je mak bapak atau sedara mara yang baru balik haji tu. Ada adabnya, ni aku kongsikan bersama.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam telah mengajarkan adab-adab yang digalakkan untuk melakukannya ketika menyambut kepulangan jemaah haji, antaranya kita disunatkan untuk bersalaman dan berjabat tangan serta berpelukan sambil mengucapkan yang maksudnya : ‘Semoga Allah menerima ibadat haji engkau dan mengampunkan dosa engkau serta menggantikannya perbelanjaan yang telah engkau keluarkan’.
Dalam perkara bersalaman dan berpelukan itu, perlulah diingat bahawa hendaklah di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan sahaja atau sama muhrimnya sahaja. Selain dari itu, adalah elok juga bagi mereka yang menyambut ketibaan orang haji itu meminta doakan kepada orang-orang yang baru balik haji kerana doa mereka adalah mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
“Dari Ibnu Umar Radiallahuanhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila engkau bertemu orang haji (yang baru balik haji) maka bersalamlah dengannya dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sebelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan Allah Ta’ala (doanya adalah dimakbulkan)” – Riwayat Al-Imam Ahmad
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga ada mengajarkan supaya orang-orang haji itu sendiri apabila ia hendak sampai ke rumah, sunat baginya untuk singgah ke masjid terlebih dahulu dan melakukan sembahyang sunat dua rakaat. Dan apabila sampai ke rumahnya pula, dia bersembahyang lagi dua rakaat dan berdoa serta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas selamatnya dia kembali ke pangkuan kaum keluarganya.
Demikianlah wahai kaum Muslimin di antara beberapa amalan dan adab bagi orang yang balik dari menunaikan ibadat haji dan orang yang menyambut kedatangan mereka, maka ikutlah panduan tersebut dan janganlah melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam semata-mata hanya untuk mengikut kebiasaan dan adat resam.
Janganlah sampai kita melakukan perkara-perkara yang dianggap bidaah sayyiah atau bidaah dhalalah, yang boleh menyebabkan kita masuk neraka, Na’uzubilllahi min zalik.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga jemaah haji mendapat haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air.
Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31 tafsirnya :
“Katakanlah wahai Muhammad, jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan ingatlah Allah Maha Pengampun .
Sesiapa yg ada Rakan Terdekat saudara keluarga yg pergi mengerjakan Haji.. Ambillah peluang keberkatan ini...
Semalam dengar Radio Selangor 100.9FM. Topik yang dibincangkan semalam tentang Talak & Rujuk. Sedikit yang aku boleh kongsi dengan sahabat semua (mungkin ada yang dah tahu, tapi blog aku, aku punya suka lah!).
Bila suami lafaz talak kali pertama dengan mengatakan “Aku ceraikan kau dengan Talak Satu”, maka sah jatuh talak berjumlah satu.
Bila kali kedua suami lafaz talak dengan mengatakan “Aku ceraikan kau dengan Talak Dua”. Maka sah juga jatuh talak tapi berapakah jumlah talak yang terkumpul?
Jawapannya, bukan DUA tapi TIGA…
Itu saja buat kali ini. InsyaAllah kalau ada yang boleh dikongsi lagi akan aku scribble dalam ni.
KITA hidup di dunia hanya sementara dan apabila tiba masanya kita akan dipanggil menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Pesan Nabi s.a.w kepada kita, orang bijaksana ialah mereka yang bersiap sedia membuat bekalan bagi berhadapan dengan saat kritikal di akhirat kelak.
Cukupkah bekalan kita atau kita tidak pernah peduli mengenai saat itu lantaran cintakan dunia hingga lupa malaikat maut sentiasa setia menanti detik mencabut nyawa? Pernahkah kita bermuhasabah diri meneropong amal yang kita telah laksanakan selama ini atau kita masih dibuai hanyut dengan keseronokan dunia?
Firman Allah menerusi Surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap (yang berjiwa) mesti merasai mati. Sesungguhnya akan dipersembahkan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang terjauh dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya menanglah ia. Tiadalah kehidupan di dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” Rasulullah mengatakan: “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kalian dan tidak pula harta kalian, tetapi Allah melihat hati dan amal perbuatan kalian.”
Ada dua aspek di sini yang diperhatikan Allah terhadap kita. Yang pertama hati dan yang kedua amal perbuatan yang dilaksanakan. Jadi, ibadah mesti lurus seperti ditetapkan Allah. Hati yang suci dengan nilai mahmudah pasti mendapat sanjungan dan pujian daripada Allah. Yang berkarat penuh dengan debu-debu dosa batin sudah tentu mendapat balasan yang pedih di akhirat kelak. Demikian juga dengan kedudukan amalan kita. Amal ibadah wajib dan sunat semua diperhitungkan Allah dan diberi pahala di sisi-Nya.
Sebenarnya, Islam membuka ruang yang amat luas dalam membuat koleksi pahala di dunia ini. Islam meliputi keseluruhan kehidupan. Oleh itu, keseluruhan gaya hidup mukmin yang menepati kehendak agama akan dikira pahala. Antaranya ialah menyebarkan salam sesama mukmin. Rasulullah ada berpesan kepada kita yang sabdanya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam (ucapan assalamualaikum), berikan makanan, hubungkan silaturahim, kamu akan masuk syurga dengan selamat.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi ).
Salam adalah suatu doa kesejahteraan dan keselamatan yang seharusnya dilafazkan ketika berjumpa sesama Muslim dan hukum menjawabnya adalah wajib. Apakah hikmahnya menyebarluaskan ucapan salam? Dalam hal ini, salam dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Islam mementingkan gaya hidup yang harmoni berasaskan kebersamaan dan semangat ukhuwah yang utuh. Kita akan temui satu lagi pesanan Nabi berkait salam ini. Ini dicatatkan oleh Muslim. Kata Rasulullah: “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan assalamualaikum di antara kamu.” Demikian tunjuk ajar Rasulullah kepada umat Islam agar menjadikan ucapan salam itu wadah untuk membentuk ummah yang bersatu padu.
Seorang tokoh sufi tersohor, Ibrahim bin Adham mengatakan ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan malapetaka. Oleh itu, amalan memberikan salam sesama Muslim itu suatu manifestasi ikatan ukhuwah yang mantap bersendikan agama. Bukan saja mendapat pahala, tetapi impaknya sangat positif dalam mewujudkan situasi kehidupan bersosial yang harmonis.
Selain itu, pintu kebaikan terbuka luas dengan budaya memberi sedekah dan sesungguhnya sedekah amat digalakkan dalam Islam. Bentuk amalan sedekah dalam Islam begitu luas. Bukan semata-mata berupa wang ringgit, tetapi apa saja yang boleh mendatangkan manfaat kepada orang lain dikira sedekah dan pahala. Begitulah Islam, indah dan mempesonakan jaringan kekuatan penghidupannya. Seandainya kita mahu betul-betul mewujudkan keterbilangan jati diri ummah, maka amalan bersedekah sewajarnya dijadikan budaya hidup. Bersedekah akan mengikis segala karat tamak dan debu-debu hasad dengki, secara tidak langsung kehidupan bermasyarakat menjelma padu dan kukuh.
Ingat peringatan Allah yang bermaksud: “Dan berbuatlah kebaikan semoga kamu berjaya.” (Maksud Surah Al-Hajj ayat 77). Manakala dalam Surah Al-Maidah ayat 2, Allah sekali lagi mengingatkan kita: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam berbuat kebaikan dan kebaktian dan janganlah kamu bantu-membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
Marilah kita renungi bersama sabda Nabi untuk memahami betapa luasnya ruang lingkup bersedekah yang dianjurkan Islam. Kata Rasulullah: “Setiap (pergerakan) sendi tulang manusia itu memperoleh sedekah pada setiap hari yang disinari matahari: mengadili antara dua orang adalah bersedekah, menolong menaikkan barang ke atas kenderaan seseorang atau menurunkannya adalah sedekah, mengucapkan kata-kata yang baik adalah sedekah dan setiap langkahmu berjalan ke masjid untuk bersolat adalah sedekah.” (Maksud hadis riwayat At-Tabrani dan Ibnu Hibban).
Inilah hebatnya Islam, yang baik dianjurkan dan yang negatif dilarang. Justeru, mengapa perlu kita memilih jalan kejahatan, keburukan dan maksiat sedangkan jalan yang dipandu Allah begitu indah dan terang bersinar? Jangan kita ditewaskan hasutan syaitan laknatullah yang sentiasa pada setiap masa mengajak kita berbuat keburukan. Sebaliknya bentengkan diri dengan keteguhan iman, takwa dan amal soleh agar kesudahan hidup kita di dunia mendapat keredaan Allah. Akhir wacana marilah kita renung dengan mata hati akan pesanan Allah ini: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.” (Surah Al-Bayyinah ayat 7).